PERANAN TUMBUHAN DALAM ASPEK KECANTIKAN DAN KESIHATAN WANITA.
- Jamu Kunyit
Kunyit atau nama saintifiknya ialah Curcuma domestica adalah
dari famili Zingiberaceae, merupakan sejenis herba berdaun lebar dan runcing di
hujung serta berbatang pendek. Daunnya berbau wangi apabila disiat atau diramas
dan mempunyai rizom yang isinya berwarna oren. Jamu kunyit disediakan dengan
dicampurkan kunyit dengan asam jawa (Tamarindus indica) dan gula merah
secukupnya. Khasiatnya ialah untuk membersihkan darah haid dan menghilangkan
baunya. Kunyit juga boleh merangsang pengeluaran jus hempedu, mengurangkan
sakit perut, anti-bakteria dan menahan bengkak.
- Jamu Lempoyang
Lempoyang atau nama saintifiknya ialah ialah Zingiber
aromaticum juga adalah dari famili Zingiberaceae. Lempoyang adalah herba
daripada jenis halia yang mempunyai rizon yang agak besar dengan bau tengik dan
rasa pahit jika dimakan. Jamu lempoyang ini sangat baik untuk membersihkan
kulit muka, menghindari muka daripada ditumbuhi jerawat dan menghilangkan bau
badan. Selain itu, ia boleh digunakan untuk memanaskan badan dan membuang
angin. Rizomnya boleh digunakan untuk menaikkan selera makan kanak-kanak.
- Jamu Tomato
Tomato sangat terkenal sebagai bahan yang sangat baik
dalam penjagaan kulit. Tomato yang dicampur dengan sedikit gula berfungsi untuk
mencantikkan kulit. Isi tomato juga baik untuk kulit yang berminyak. Ia akan mengurangkan
daya kerja kelenjar minyak dan berfungsi sebagai astringent bagi kulit yang
mulai kendur.
- Jamu Beras Hancur
Beras yang digoreng hingga kekuningan dicampurkan dengan
cekur, bunga cengkih dan kulit kayu manis, kemudian dicampurkan dengan gula
merah dan asam. Campuran ini begitu memuaskan untuk menyegarkan wajah,
melancarkan peredaran darah dan membuat seseorang tidak mudah penat.
- Jamu Lempoyang dan Kunyit
Lempoyang atau nama saintifiknya ialah Zengiber
aromaticum dari famili Zingiberaceae jika dicampurkan dengan kunyit
akan dapat menghilangkan bau badan.
MENGGUNAKAN MASKER
Selain penjagaan asas dan mengurut, penggunaan masker merupakan perawatan muka tambahan yang amat berguna. Ia dapat menegangkan kulit muka dan melicinkannya. Penggunaan produk tumbuhan tidak dapat dinafikan kepentingannya dalam pembuatan masker. Kulit yang remaja boleh menggunakan masker daripada sayur-sayuran seperti timun, tomato, lobak merah, kentang dan sengkuang yang boleh disediakan sendiri di rumah.
Jenis-jenis Masker
- Masker sengkuang
Masker ini sangat sesuai untuk para remaja. Campuran
masker sengkuang dengan air mawar dapat memutihkan dan menghilangkan
tanda-tanda hitam atau pigmentasi di muka.
- Masker jerawat
Masker ini diperbuat daripada bayam dan sedikit serbuk
ubat jerawat. Ia sangat berkesan untuk mengecutkan jerawat dan menghilangkan
rasa gatal di muka. Khasiat lainnya ialah untuk menghilangkan bekas-bekas
jerawat.
- Masker tomato
Tomato atau nama sainsnya Lycopersicom esculentun yang
dicampurkan dengan sedikit masker sengkuang dan air akan menghaluskan dan
melicinkan kulit muka.
- Masker lobak merah
Nama sains bagi lobak merah ialah Daucus carota.
Lobak merah dicampurkan dengan masker sengkuang dan sedikit air mawar akan
dapat mengembalikan kelembapan kulit wajah dan keremajaan anda.
- Masker kentang
Kentang atau nama saintifiknya Solanum tuberosum
boleh dijadikan masker untuk digunakan pada muka dan juga badan. Masker ini
dicampurkan dengan masker sengkuang dan air mawar sehingga menjadi krim.
Hasilnya akan melembutkan dan memutihkan kulit.
- Masker timun
Nama sains bagi timun ialah Cucumis sativa L. Ia
boleh digunakan dalam dua bentuk iaitu airnya boleh dijadikan sebagai penyegar
manakala isinya dicampur dengan masker sengkuang boleh digunakan untuk
mendapatkan kulit yang licin tanpa jerawat.
Penjagaan Rambut
Penjagaan awet muda juga perlu menitikberatkan tentang
penjagaan rambut kerana rambut adalah mahkota wanita. Tidak dapat dinafikan
penggunaan tumbuhan sangat meluas dalam proses penjagaan rambut. Lidah
buaya misalnya, digunakan sebagai syampu dan perapi untuk menyihatkan sel
rambut, menguatkan akarnya dan memelihara rambut daripada rosak akibat
penggunaan pengering rambut. Herba pula digunakan sebagai syampu dan perapi untuk
mengembalikan kesegaran rambut, melembap, melicin dan menyerikan rambut. Selain
daripada itu, lobak merah juga digunakan sebagai syampu bagi rambut kering. Ia
menggalakkan pertumbuhan rambut baru dan mengelakkan rambut bercabang di
hujung. Epal pula boleh digunakan bagi rambut yang menghadapi masalah
kelemumur. Perapi epal didapati sangat sesuai untuk melembap, melicin dan
menyegarkan rambut. Ia kaya dengan vitamin C dan perapi ini menjaga sel-sel
rambut.
Perawatan Badan
Untuk kelihatan awet muda badan juga perlu diberi
perhatian agar bersih, segar dan tidak berbau. Kunyit atau nama sainsnya Curcuma
domestica dari famili Zingiberacea cukup popular sebagai bahan asas untuk
membuat lulur dengan dicampurkan temulawak. Lulur ini elok sebagai bahan
pembersih badan. Selain itu, lulur boleh digunakan untuk membantu menghapuskan
kekotoran di kulit badan lantas memutihkannya, membuang sel-sel yang mati
supaya sel baru boleh tumbuh dengan itu boleh menghaluskan kulit, menghilangkan
tanda-tanda hitam, menghilangkan urat-urat kecil, melegakan gatal-gatal dan
menghilangkan bau badan.
Rahsia Melangsingkan Badan Dengan Tumbuhan
Bentuk badan harus dijaga dengan berhati-hati
terutamanya bagi kaum hawa. Potongan badan yang menarik membuatkan anda
sentiasa kelihatan muda. Untuk mendapatkan tubuh yang ramping dan sedap
dipandang, petua berikut boleh diamalkan.
¨
Rahsia buah delima
Delima (Punica granatum) yang dicampur dengan air
dan sedikit garam mampu mengurang dan melangsingkan badan.
¨
Khasiat rempah ratus
Selain memberi selera dalam masakan harian, campuran
rempah ratus seperti ketumbar, jintan manis, jintan putih, halia dan lada hitam
berupaya melangsingkan badan.
¨
Khasiat limau nipis (Citrus hystrix)
Perahan limau nipis yang dicampurkan dengan teh pekat berupaya
untuk memecahkan lemak.
¨
Rahsia daun betik
Betik atau nama sainsnya Carica papaya adalah
sangat berkhasiat baik buah mahupun daunnya. Air rebusan daun betik berupaya
menghasilkan perubahan bentuk badan yang sangat menakjubkan, langsing dan cantik.
Perawatan Wanita Selepas Bersalin
Selepas bersalin adalah masa paling penting bagi
seseorang wanita untuk berehat. Masa yang diperlukan adalah selama 40 hari,
kadang-kala sampai 60 hari. Selama waktu ini wanita harus tahu menjaga
kesihatan diri, kalau tidak wajah dan badan akan cepat kelihatan tua. Rawatan
tradisional terbukti dapat membantu kaum ibu mengembalikan bentuk badan seperti
asal dan mengembalikan kesihatan dan kecantikannya. Antara perawatan yang
menggunakan tumbuhan semula jadi dan petua yang boleh diamalkan ialah ;
- Memakai barut – Sebelum memakai barut, perut akan disapu dengan tapel yang diperbuat daripada cekur, manjakani dan pati beras. Tapel berfungsi untuk menghangatkan perut.
- Jamu asam jawa – Rebusan air asam jawa dengan kunyit, gula melaka dan halia berguna untuk membuang semua darah kotor yang masih tertinggal dalam rahim.
- Meminum air daun betik – Air daun betik berguna untuk melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin yang ada di dalamnya.
- Mandi air suam – Air suam yang dicampur dengan daun-daun untuk menghasilkan bau wangi seperti serai wangi, daun pandan dan daun ubat-ubatan lain dapat menyegarkan badan.
- Mandi rempah – Selain rempah, di dalam air mandian boleh ditambah dengan bunga-bungaan yang wangi untuk menghilangkan bau yang kurang sedap dari badan.
- Minum jamu – Minum jamu selepas bersalin boleh mengubati luka-luka dan mengembalikan kecantikan anda.
- Menggunakan param – Param dibuat daripada kelir, cekur dan minyak sireh dan ia disapu ke seluruh badan. Ia berfungsi untuk menghilangkan rasa sengal pada sendi dan otot, menghangatkan badan dan menghilangkan bengkak-bengkak.
- Menggunakan pilis – Pilis dibuat daripada akar tinggal, buah kapulaga dan sintok. Pilis biasanya disapukan di dahi untuk mencerahkan penglihatan dan menghilangkan pening kepala.
Selain daripada amalan penjagaan ibu-ibu selepas bersalin
seperti di atas, terdapat juga penggunaan tumbuhan dalam amalan-amalan
kesihatan seperti berikut :
- Penggunaan lempoyang dan kunyit yang dicampur dengan gula merah untuk memulihkan tenaga selepas bersalin.
- Kelapa dan buah keras digunakan untuk mengilatkan dan menghitamkan rambut dalam masa pantang.
- Halia yang direbus dengan sedikit gula untuk mengatasi sakit pinggang dalam pantang.
- Daun lidah buaya atau aloe vera yang cukup tua sangat berguna untuk memastikan perjalanan darah yang sempurna dalam pantang.
- Campuran buah manjakani, bawang putih dan lada hitam boleh memelihara bentuk badan agar tetap segar dan langsing walaupun telah melahirkan beberapa orang anak.
- Halia muda sangat berkhasiat, jika dicampurkan dalam sup ayam boleh mempercepatkan ibu-ibu pulih setelah melahirkan anak, lenguh-lenguh dan sakit badan juga akan hilang.
- Ibu-ibu yang kurang darah selepas melahirkan anak boleh mengamalkan minum air rebusan lempoyang dan gula merah.
- Air limau nipis dicampur dengan minyak kayu putih dan air kapur sirih dapat menghindarkan kulit perut dari berkedut dan melicinkan kulit perut yang pecah-pecah.
Tumbuhan Dan Pelbagai Khasiat Yang Tersembunyi
- Ulam raja
- Merupakan tumbuhan liar yang mudah didapati di negara ini walaupun sebenarnya tumbuhan ini berasal dari Amerika Latin. Berdasarkan kajian tempatan, ulam raja ini mengandungi 3 % protein, 0.4% lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A. Selain itu, dalam rawatan tradisional, ulam raja digunakan sebagai agen pencuci darah dan untuk menguatkan tulang.
- Bendi
- Merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara beriklim panas lembap. Berdasarkan kajian tempatan yang dilakukan, bendi mengandungi 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat serta banyak mengandungi kalsium, fosforus, zat besi, vitamin A,B1, B2, C dan niasin. Bendi juga kaya dengan zat galian dan vitamin terutamanya kalsium. Bendi juga sayur yang elok untuk perkembangan otak.
- Jering
- Adalah tumbuhan asli di negara ini. Daripada kajian yang dilakukan, didapati jering mengandungi 3.5 % protein, 0.1% lemak, 1.7% karbohidrat, banyak mengandungi kalsium, fosforus, besi, vitamin A,B dan C.
- Petai
- Atau nama saintifiknya Parkia spp tergolong dalam famili Leguminasae berasal dari rantau ini. Terdapat 4 spesies petai iaitu Parkia javanica (petai karayong), Parkia singularis (petai meranti), Parkia speciosa (petai biasa/papan) dan Parkia sumatrana (petai naring). Berdasarkan kajian tempatan, petai mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi iaitu sebanyak 8 peratus.
- Pisang
- Atau nama sainsnya Musa spp merupakan tumbuhan liar di Asia Tenggara. Sebenarnya seluruh pokok pisang adalah berkhasiat. Menurut kajian tempatan, jantung pisang mengandungi 1.2% protein, 0.3% lemak, 7.1% karbohidrat, mengandungi banyak fosforus dan zat besi. Buah pisang pula kaya dengan serat, vitamin C, potasium, ribofalvin, folate, magnesium dan karbohidrat ringkas.
- Terung pipit / Terung Belanda
- Nama sainsnya ialah Olanum torrum swartz dari famili Solanacea merupakan tumbuhan liar di Malaysia. Daripada kajian, terung pipit ini mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat serta mengandungi zat besi, banyak vitamin A dan C serta B1. Menariknya terung pipit ini juga mengandungi alkohol jenis steroidd yang dikenali sebagai Solasodin sebanyak 0.84% yang penting untuk menghasilkan pil perancang keluarga.
- Timun
- Nama sainsnya ialah Cucumis sativa L adalah sayur tempatan bukan asli tetapi tempat asalnya dipercayai di kawasan kaki banjaran Himalaya di India. Menurut kajian tempatan, timun mengandungi 0.65% protein, 0.1% lemak dan 2.2% karbohidrat. Selain itu, timun juga turut mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, B1, B2 dan vitamin C dan niasin.
- Kacang Botol
- Merupakan sayuran tempatan bukan asli. Menurut kajian tempatan, kacang botol yang masih muda mengandungi 1-3% protein,kaya dengan zat kalsium, besi dan vitamin A.
- Pegaga (Centella asiatica)
- Merupakan tumbuhan yang sangat berkhasiat. Seluruh bahagian pegaga iaitu daripada tangkai daun, daun, batang, buah dan akarnya sekali sangat banyak kegunaannya. Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antispasma, antiinflamesi, hipotensif dan insektisid.
- Aprikot
- Kaya dengan vitamin C dan mempunyai kandungan beta karotina tertinggi. Anti oksida ini mengandungi zat yang boleh memerangi kanser.
- Gajus (Anarcardium occidentela)
- Sangat unik kerana mempunyai biji di luar. Bijinya mengandungi 45% minyak dan 20% protein.
- Nangka (Atocarpus heterophyllus)
- Berasal dari India. Buah yang masak mempunyai bau yang kuat, isinya mengandungi karbohidrat dan bijinya mengandungi karbohidrat dan protein.
- Belimbing (Averrhoa carambole)
- Terbukti mengandungi vitamin C dan A dan mineral yang tinggi.
- Delima (Punica granatum)
- Mempunyai isi yang manis dan sangat berkhasiat untuk kesihatan badan.
- Oats
- – Sejenis makanan yang menakjubkan kerana kaya dengan serat untuk diet, protein dan vitamin serta zat besi, magnesium dan potasium. Ia juga berfungsi mengurangi penyerapan lemak dan mengurangi penyakit susah buang air.
- Beras (Oryza sativa)
- Merupakan sumber karbohidrat yang bebas kanji serta mengandungi mineral dan vitamin. Ia berfungsi untuk menstabilkan kadar gula dalam darah. Juga sebagai bahan terapi bagi radang saluran pencernaan.
- Kacang soya
- Ia bukan sahaja sebagai bahan makanan yang enak tetapi bahan mentah dalam industri kimia. Kacang soya telah digunakan di dalam herba perubatan China sejak 5000 tahun dahulu. Ia sangat kaya dengan sumber protein dan kalsium.
- Cendawan
- Merupakan sejenis tumbuhan yang kaya dengan nutrien, vitamin dan protein semulajadi. Di samping nilai pemakanan yang tinggi , cendawan dapat meredakan penyakit seperti anemia dan kencing manis.
PENGGUNAAN TUMBUHAN DALAM AMALAN PERUBATAN TRADISIONAL
- Air rebusan tongkat Ali
- Tonik kesihatan untuk ibu-ibu selepas bersalin dan untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Orang-orang Asli pula menggunakan bahagian kulit akar tongkat Ali untuk mengubati demam cacar manakala serbuknya pula digunakan bagi merawat luka serta melegakan demam malaria.
- kacip fatimah (Labisia pothoina)
- Berguna untuk mengubat buasir dan penyakit tulang. Sementara akarnya boleh digunakan untuk mengecutkan rahim perempuan selepas bersalin.
- Pokok rancang besi ( Freycinetia malaccensis)
- Sangat berguna dalam perubatan tradisional iaitu akar dan batangnya bersama ramuan dan ubatan lain dapat mengubati lemah tenaga batin.
- Jeli dari daun pokok Aloe vera
- Digunakan sebagai ubat luka yang amat mujarab. Namun kajian saintifik telah berjaya membuktikan getah daun ini mempunyai fungsi yang lebih luas terutama dalam perubatan herba. Isi daunnya digunakan untuk merawat sakit tekak dan mulut, bahan dalam kosmetik dan melicinkan kulit. Lendir kuning daripada pangkal daunnya digunakan sebagai pelawas bagi memudahkan membuang air besar manakala jeli Aloe vera digunakan untuk merawat ulser.
- Bawang putih (Allium sativum).
- Ia telah lama dianggap sebagai herba atau makanan ajaib kerana unsur perubatan dan antibiotik yang ada padanya. Selain digunakan dalam pembuatan jamu atau tonik ia digunakan untuk mengubat luka, bisa lipan, kala jengking dan juga boleh menurunkan tekanan darah serta mengelakkan daripada terkena kencing manis.
- pokok senduduk
- Untuk ubat-ubatan bagi kaum wanita. Senduduk (Melastoma malabathricum) bersama ubatan lain boleh dijadikan ubat periuk bagi kegunaan wanita selepas bersalin. Sementara daunnya pula berguna untuk merawat cirit-birit, buasir, kudis, menghilangkan parut cacar serta untuk merawat penyakit keputihan pada wanita.
RUJUKAN
Abd. Rahman Md. Derus. 1998. Pengenalan dan penggunaan
herbal ubatan. Kuala
Lumpur:
Multi Triple Vision Sdn. Bhd.
Aliza Ngah Rawi. 1993. Koleksi petua merawat
kecantikan, penyakit dan masalah
harian. Selangor: Citakhidmat (M) Sdn. Bhd.
Amina Haji Noor. 1993. Koleksi petua awet muda.
Selangor: Citakhidmat (M)
Sdn.Bhd.
Amina Haji Noor. 1997. Koleksi petua, rawatan &
pantang selepas bersalin. Kuala
Lumpur:
Citakhidmat (M) Sdn. Bhd.
Amina Haji Noor. 1999. Petua awet muda, amalan dan
pantang larang. Kuala
Lumpur: Usnie
Publisher.
Azizul Abdul Kadir. 1996. Hutan tropika Malaysia sumber
bahan herba, kosmetik
dan
farmaseutikal. Dewan Kosmik, Disember : 3-5.
Khairol Bariah Kamaruddin. 1999. Herba mencantikkan kulit
wajah. Jelita,
Disember: 209.
Khairuddin Haji Kamaruddin. 1992. Hutan hujan tropika
Semenanjung Malaysia.
Kuala Lumpur:
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.
Lia Omar. 1994. Jamu rahsia kejelitaan bagi setiap
wanita . Kuala Lumpur: Times
Books International.
Mariati Othman. 1996. Tumbuh-tumbuhan ubat-ubatan. Dewan
Kosmik ,April: 50-51.
Muhammad Najib Al- Syibli. 1999. Pemakanan yang baik ,
pengubatan dan tips
kesihatan untuk
keluarga mukmin. Kuala Lumpur: Jasmin Enterprise.
Mustafa Ali Mohd. 1993. Ubat daripada tumbuhan . Dewan
Kosmik, Mac: 30-31.
Ong Hean Choi. 1998. Sayuran tempatan memiliki khasiat
lebih bernilai. Dewan
Kosmik Januari: 38-39.
Razak Haji Lajis. 1996. Perubatan tradisional antara
manfaat dengan risiko. Dewan
Kosmik, April: 38-39.
Rusniwati Samaun. 1999. Koleksi petua merawat
kecantikan dan menyembuh
penyakit. Kuala Lumpur : Usnie Publisher.
Salam Babji & Fauzi Daud. t.th. Sains dan
teknologi penanaman cendawan. Penerbit
UKM.
Suffian Dollah. 1999. Aloe vera tumbuhan seribu kegunaan.
Dewan Kosmik ,Ogos:
36-37.
Zakaria Abdullah. t.th. Pokok buah-buahan di Malaysia
. PAM Publishing (M) Sdn.
Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan